eUsahawan Gerbang Ilmu Untuk Usahawan Digital

09-10-2017

Ekonomi digital merujuk kepada suatu yang berdasarkan kepada teknologi pengkomputeran digital dan dijangka menjadi cara perniagaan dijalankan pada masa depan. Kaedah yang digunakan terbukti menjadi lebih berkesan dari segi kos dan masa, berbanding cara tradisional. Dalam usaha ke arah mencapai status negara maju, Malaysia melaksanakan banyak strategi, termasuk peralihan kepada ekonomi digital untuk terus kompetitif dan relevan kepada persekitaran perniagaan yang moden.

Malah, jika bercakap mengenai perkembangan era digital di Malaysia ia juga menyentuh kepada perkembangan orang ramai untuk berinteraksi atau berkomunikasi menerusi platform media sosial yang diwujudkan oleh pelbagai pihaknya misalnya yang begitu popular sekali adalah Facebook, Twitter dan Instagram.

Mengambil kepada senario tersebut, usahawan Malaysia perlu bijak untuk merebut peluang bertukar kepada cara perniagaan terkini sebagai usahawan digital. Platfrom media sosial berkenaan memberi kesan yang begitu besar kepada ramai usahawan di negara ini untuk meluaskan jaringan perniagaan mereka sehingga menjana pendapatan yang besar setiap bulan.

Kempen #YOUCANDUIT Inisiatif Kerajaan Bantu Usahawan Digital

Kerajaan juga menggunakan platform digital berkenaan untuk membantu ramai usahawan terutama golongan muda untuk menjana pendapatan. Melalui Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) melancarkan Kempen #YOUCANDUIT apabila dalam kempen berkenaan terdapat dua program keusahawanan diwujudkan iaitu e-usahawan dan e-rezeki.

Kempen #YOUCANDUIT telah menjana jumlah terkumpul lebih RM64 juta pada tahun 2016 melalui program eUsahawan dan eRezeki.

Program eUsahawan Pemangkin Pendapatan digital

Program eUsahawan merupakan salah satu inisiatif oleh kerajaan untuk menerapkan nilai dan ilmu keusahawan digital di kalangan golongan belia dan usahawan mikro. Program ini juga platform penyebaran ilmu dan peningkatan keyakinan menggunakan Internet sebagai medium pemasaran.

e-Usahawan disasarkan kepada usahawan yang belum lagi memanfaatkan digital sebagai platform perniagaan mereka terutama bagi mereka yang berniaga secara kecil-kecilan. Malah, program itu turut memberi dorongan kepada ramai pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi untuk menjadi usahawan ketika belajar menerusi platform ini. Peserta akan diberi pendedahan kepada teknik pemasaran digital yang efektif, praktikal dan relevan kepada pengguna semasa.

eUsahawan Berjaya Menjana Pendapatan Sampingan

Bagi rekod 2016, seramai 51,000 peserta telah dilatih untuk program eUsahawan. 

Daripada jumlah tersebut 30 peratus daripadanya telah berjaya menjana pendapatan sampingan yang mencecah RM48 juta secara terkumpul. Oleh yang demikian MDEC juga mensasarkan dapat melonjak prestasi peserta eUsahawan yang berpotensi tinggi ke peringkat yang lebih baik.

Langkah pemerkasaaan ekonomi menerusi digital itu juga adalah salah satu usaha kerajaan untuk mendapatkan sumbangan sebanyak 20 peratus daripada sektor ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020. Bakal usahawan dan juga usahawan sedia ada perlu mengambil peluang untuk menjadi usahawan digital.

Banyak platform telah disediakan oleh kerajaan untuk membantu usahawan digital dan seharusnya diambil peluang oleh mereka yang masih tercari-cari rentak menjana duit secara online.